Selasa, 05 April 2011

Imam Mahdi Menakluk Eropah

A. Dari Hasan bin Atiyyah, dia berkata,
“Mak-hul dan Ibnu Abi Zakaria cenderung kepada Khalid bin Ma’dan, sedangkan aku pula lebih cenderung kepada mereka berdua.” Lalu dia memberitahu kepada kami dari Jubair bin Nufair RA, dia berkata, “Marilah pergi bersama-sama kami menuju ke Zu Mikhmar,” pada hal Jubair adalah salah seorang sahabat Nabi SAW. Lalu aku pergi bersama-sama mereka, maka dia bertanya kepada Jubair tentang perjanjian damai. Jawabnya, “Saya mendengar Nabi SAW bersabda, “Orang Rom (pada akhir zaman nanti) akan mengadakan suatu perjanjian damai yang membawa keamanan kepada kamu semua. Kemudian kamu akan saling bermusuhan, kamu dan mereka, saling menganggap sebagai musuh. Lalu kamu diberikan kemenangan, memperoleh harta rampasan dan selamat, kemudian kamu kembali, (dalam perjalanan pulang dari Eropah itu) sehingga kamu tiba dan singgah di suatu padang (gembala binatang yang luas) yang berpasir. Lalu ada seorang lelaki dari pengikut Salib (Kristian), mengangkat salibnuya sambil berteriak, “Salib menang!” maka datang seorang lelaki dari kalangan (tentera) kaum Muslimin, dengan marah, kepada lelaki Salib (Kristian itu) lalu memukulnya (dengan senjata sampai mati). Maka pada ketika itulah orang-orang Rom berkhianat (terhadap perjanjian damai dan gencatan senjata) dan mereka berkumpul di padang pertempuran itu.”
Dari Hasan bin Atiyah, dengan isnad sama seperti di atas, tetapi ada tambahan lagi di hujungnya, “Mereka berkumpul di padang pertempuran, lalu datang pada waktu itu (tentera Salib) di bawah lapan puluh bendera. Di bawah setiap bendera ada dua belas ribu orang (tentera Kristian).”        (Ibnu Majah)
B. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi adalah daripada anakku, dia berusia empat puluh tahun. Wajahnya bagaikan bintang yang bergemerlapan, pipi kanannya ada tahi lalat, kulitnya kemerah-merahan seolah-olah dia adalah keturunan Bani Israel, dia akan mengeluarkan harta karun dan akan menundukkan kota-kota maksiat.”       (Abu Nuaim)
Kedua-dua buah hadis ini menjelaskan bahawa Imam Mahdi akan menakluk Eropah. Sebelum Eropah ditakluk, Imam Mahdi mengadakan perjanjian damai dengan pihak Nato yang menyebabkan umat Islam berasa begitu aman dan bahagia. Kedua-dua belah pihak saling membantu termasuk kerjasama erat ketika mereka menyerang Rusia Putih, iaitu negara Rusia yang besar itu.
Semasa peperangan inilah mereka mula berbalah apabila seorang dari pihak tentera Kristian menyatakan iktikadnya bahawa yang memberi kemenangan kepada mereka adalah salib. Hal ini menyebabkan salah seorang tentera Islam berasa marah kerana bercanggah dengan iktikad umat Islam yang meyakini bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi bekas. Ketegangan mula berlaku dan akhirnya tentera Islam ini secara tidak sengaja (dalam keadaan marah) memukul tentera Kristian tadi lalu mati. Melihatkan rakan mereka mati, maka tentera Kristian Eropah itu mencabul perjanjian damai yang telah dimeterai sejak sekian lama itu dan menyatakan permusuhan secara terang-terangan kepada Islam dan pemimpinnya.
Maka mereka pun mengumpulkan seluruh kekuatan mereka yang ada, dengan askarnya yang berjumlah hampir sejuta orang, di bawah pimpinan lapan puluh orang jeneral besar dari beberapa buah negara, diketuai oleh Perancis, Britain, Itali, Jerman dan Sweden. Semasa menghadapi tentera Kristian ini, umat Islam membawa jumlah tentera yang besar pula, kira-kira sejuta orang yang didatangkan melalui jalan darat melalui Turki (dipimpin sendiri oleh Imam Mahdi) dan melalui jalan laut (dipimpin oleh Syuaib bin Saleh) lalu memasuki Eropah. Melihatkan keadaan ini, Amerika Syarikat turut membantu Eropah dengan menghantar pasukan tentera marinnya yang terkenal mahir itu, tetapi pasukan ini berjaya ditenggelamkan ke dasar laut oleh pasukan At-Tamimi.
Pertempuran yang hebat ini menjadi semakin besar, apabila umat Islam dari utara Afrika turut membantu. Begitu juga pasukan dari negara-negara Arab turut menghantar pasukan tentera. Dalam peperangan inilah begitu ramai korban yang ditanggung oleh kedua-dua belah pihak. Lebih satu pertiga daripada penduduk Eropah mati dibunuh, kebanyakannya oleh pasukan mereka sendiri yang tidak sanggup melihat anak cucu mereka memeluk agama Islam dan lebih rela membunuh mereka sehingga ramailah yang mati.

Berlaku Perang Dunia Ketiga

A. Sabda Nabi SAW,
“Seandainya umur dunia ini cuma tinggal sehari sahaja lagi, nescaya Allah akan memanjangkan hari itu, sehingga (Allah) mengangkat seorang amir daripada keturunanku, yang mana perang besar (Al-Malhamatul ‘Uzma) akan terjadi dalam masa pemerintahannya. Dan Islamlah yang akan menang. Sesungguhnya Allah tidak pernah mengingkari janji-Nya dan amat cepat (pula) hisabnya.”     (Imam Ahmad, at-Tarmizi & Abu Daud)
Rasulullah SAW sendiri sudah menyebutkan bahawa peperangan antara tentera Islam dengan tentera Kristian adalah perang yang sangat besar, yang menelan korban yang amat besar pula. Itulah dia Perang Salib terakhir atau Perang Dunia Ketiga atau Perang Penentu kerana jika Kristian kalah, maka seluruh agama Kristian akan punah ranah dan hanya tinggal sejarah. Jika Kristian menang, mereka akan terus kekal di atas muka bumi ini walaupun pengaruh mereka sudah amat merosot.
Dan sesungguhnya umat Islamlah yang akan menang ke atas Kristian dan seterusnya menakluk seluruh Eropah lalu mengislamkan penduduknya yang masih hidup. Mulai saat itu, agama Kristian tinggal sejarah kerana penganutnya kini amat kecil sekali, hanya kekal dianut oleh beberapa ribu orang sahaja, dan dalam kelompok yang amat minoriti pula. Yang lain telah memeluk agama Islam dan menjadi penganutnya yang soleh-soleh pula.
Perang ini amat dahsyat, melangkaui masa dua puluh tiga tahun bagi Eropah. Semasa peperangan ini, Eropah mengalami penderitaan yang hebat-hebat seperti kemarau panjang yang mengeringkan terus sungai-sungai yang selama ini tidak pernah kering, hujan yang tidak turun-turun walaupun setitik selama tiga tahun, kekurangan bahan makanan dan haiwan-haiwan ternakan yang habis mati kepanasan. Kebuluran brmaharaja lela di mana-mana sahaja di seluruh Eropah. Pendek cerita, Eropah mengalami kekalahan besar dan penderitaan yang amat dahsyat.
Anehnya, pada masa yang sama umat Islam pula sedang menikmati hidup yang sangat aman damai, bahagia dan berkat. Hidup mereka tidak pernah kurang satu apapun, air mudah didapati, tanaman berkembang subur dan haiwan-haiwan kembang biak. Harta benda pula melimpah ruah. Itulah keberkatan yang Allah turunkan kepada Imam Mahdi dan negara-negara yang berada di bawah kekuasaannya.

Imam Mahdi dan Baitulmaqdis (Jerusalem)

A. Sabda Nabi SAW,
“Seorang lelaki daripada umatku akan keluar lalu bercakap berdasarkan sunnahku, dan Allah yang Maha Besar lagi Maha Perkasa akan menurunkan hujan dari langit (dengan banyaknya) sehingga bumi mengeluarkan segala isinya. Melaluinya dunia ini akan dipenuhkan dengan keadilan dan kesaksamaan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan penindasan dan kekejaman. Dia akan memerintah umat ini selama tujuh tahun, lalu pergi (berhijrah) ke Baitulmaqdis.”

Lelaki yang dimaksudkan itu adalah Imam Mahdi. Bercakap berdasarkan sunnah itu maksudnya ialah mengamalkan apa yang diucapkannya, bukan semata-mata mengucapkan tanpa diamalkan. Juga bermaksud akidahnya adalah tepat seperti akidah Rasulullah SAW dan para Sahabat RA. Juga bermaksud amalannya lebih banyak daripada cakapnya kerana beliau tidak suka bercakap mengenai sesuatu melainkan beliau telah amalkannya terlebih dahulu. Hal ini amatlah sukar untuk dipraktiskan pada zaman ini oleh kebanyakan orang, sama ada para ulamanya mahupun para pemimpinnya.

Kerana keadilan pemeirntahannya, Allah SWT turunkan keberkatan dari langit dan dari dalam bumi, dari tanam-tanamannya, ternakannya dan harta bendanya. Ini boleh berlaku dengan izin-Nya dan dengan berkat keramat pemimpin yang bertakwa itu. Pemerintahannya sentiasa dibantu oleh Allah sehingga jadilah beliau seorang pemimpin yang sangat adil dan saksama sepanjang pemerintahannya. Lama pemerintahannya selepas Dajjal dibunuh adalah selama tujuh hingga sembilan tahun, iaitu menurut kadar pada masa itu, bukan menurut zaman kita sekarang ini. Tempat hijrah beliau, iaitu tempat tinggalnya selepas keluar dari kota Makkah ialah ke Baitulmaqdis.

Imam Mahdi Muncul Pada Akhir Zaman

A. Seorang tabiin, Salmah bin Zufar RH meriwayatkan bahawa pada suatu hari orang ramai sedang berbincang mengenai kemunculan Al-Mahdi di hadapan Huzaifah RA. Kata Huzaifah RA,
“Kalaulah Al-Mahdi itu zahir ketika kamu masih dekat dengan zaman kenabian, dan ketika sahabat-sahabat baginda SAW masih hidup di kalangan kamu, maka kamu benar-benar beruntung. Tetapi tidaklah demikian halnya. Al-Mahdi tidak akan zahir sehinggalah manusia dikelilingi oleh penindasan dan kekejaman, dan tidak seorang pun yang lebih dikasihi dan diharapkan (oleh mereka) melebihi daripadanya.”

Memang Sayidina Huzaifah RA adalah orang yang amat arif tentang Imam Mahdi di kalangan Sahabat RA. Namun beliau sendiri mengakui bahawa Imam Mahdi itu tidak akan muncul pada zaman beliau, yakni para Sahabat, masih hidup. Beliau mengakui bahawa Imam Mahdi itu hanya akan muncul pada penghujung umur dunia ini. Tidak ada orang lain yang lebih dikasihi dan diharapkan oleh sekalian manusia (yang beriman) melainkan beliaulah sahaja. Tidak ada orang lain yang cinta kasih mereka tercurah melebihi daripada beliau.

Imam Mahdi inilah satu-satunya manusia yang berupaya menegakkan sebuah kerajaan utopiaseperti yang amat diidam-idamkan oleh Plato. Bagi Plato, kerajaan utopia itu adalah sebuah kerajaan yang serba lengkap, moden, hebat dan adil. Malangnya khayalan beliau itu hanyalah tinggal khayalan beliau. Dan Imam Mahdi sebenarnya mampu mendirikan sebuah kerajaan yang melebihi daripada apa yang mampu akal Plato fikir dan bayangkan. Dengan bantuan Allah, Imam Mahdi mampu berbuat apa yang sekali-kali tidak akan terjangkau oleh fikiran Plato yang panjangitu. Kerana terlalu memuja akal, Plato teraba-raba dan tersesat daripada jalan yang benar, sedangkan Imam Mahdi sentiasa di dalam limpahan cahaya petunjuk Ilahi.